By: Sheryl Wong
Anda bimbang anda akan sesat? Anda gementar kerana pertama kali menjejak kaki di tanah Semenanjung?
Jangan risau, di sini saya akan berkongsi tips #Transportation101 untuk membimbing perjalanan anda daripada lapangan terbang ke UPSI terutama sekali bagi pelajar baru yang datang jauh daripada Sabah dan Sarawak.
[TIPS PENGANGKUTAN DARI KLIA/KLIA2 KE UPSI]
1. KLIA Ekspres -> ETS -> Teksi
Pergi ke kaunter KLIA Ekspres dan membeli tiket tren KLIA Ekspres untuk bertolak ke KL Sentral, lepas itu menggunakan tren ETS dari KL Sentral menuju ke Tanjung Malim. Setelah tiba di stesen KTM Tanjung Malim, naik teksi/prebet ke Kampus Baru UPSI. Harga tiket sehala tren KLIA Ekspres ialah RM55 untuk dewasa (RM35 bagi pelajar yang mempunyai KADS1M), boleh dapat 10% diskaun sekiranya membeli tiket melalui kiosk layan diri. Harga tiket sehala ETS KL Sentral ke Tanjung Malim adalah RM15 (ETS Silver) dan RM20 (ETS Gold). Harga teksi/prebet adalah lebih kurang dalam lingkungan RM10-RM30. Tambang teksi agak mahal berbanding dengan prebet. Secara umumnya, perjalanan ini boleh dikatakan yang paling cepat dan senang, tetapi kos perbelanjaan adalah yang paling tinggi.
2. KLIA Ekspres -> Komuter -> Teksi
Pergi ke kaunter KLIA Ekspres dan membeli tiket tren KLIA Ekspres untuk bertolak ke KL Sentral, lepas itu membeli tiket komuter dengan harga RM10.50 sehala untuk bergerak dari KL Sentral ke Tanjung Malim. Setelah tiba di stesen KTM Tanjung Malim, naik teksi/prebet ke Kampus Baru UPSI. Komuter adalah tren dengan harga tiket yang lebih murah, tetapi mengambil masa yang panjang ke destinasi berbanding dengan tren ETS.
3. Aerobus/Skybus -> KTM -> Teksi
Membeli tiket bas Aerobus/Skybus di kaunter pengangkutan untuk bertolak ke KL Sentral, lepas itu menggunakan komuter bergerak dari KL Sentral menuju ke Tanjung Malim. Setelah tiba di stesen KTM Tanjung Malim, naik teksi/prebet ke Kampus Baru UPSI. Bas ini akan mengambil masa 1 jam ke KL Sentral dengan harga RM11 sehala sahaja. Setelah tiba di stesen KTM Tanjung Malim, naik teksi/prebet ke Kampus Baru UPSI.
4. Star Coach -> Bas TM-KL -> Teksi
Membeli tiket bas Star Coach yang berharga RM11 sehala di kaunter pengangkutan. Bas ini akan bergerak ke Pudu Sentral, tetapi bas ini tidak akan masuk ke dalam Pudu Sentral. Oleh itu, minta pemandu bas untuk berhenti di Mydin, dan berjalan ke arah bangunan UTC. Terus bergerak ke basement bangunan UTC (tempat parkir bas), mencari bas TM-KL di Platform 5 dan membeli tiket bas (RM7.70) terus di sana. Bas TM-KL adalah satu-satunya bas di Pudu Sentral yang bertolak ke Tanjung Malim, dan ia akan berhenti di stesen bas Pekan Tanjung Malim. Selepas turun dari bas, naik teksi/prebet menuju ke Kampus Baru UPSI. Tidak menggalakkan pelajar yang membawa banyak bagasi untuk mengambil perjalanan ini.
5. Teksi Putih (Airport Taxi)
Membeli kupon teksi di kaunter pengangkutan. Teksi ini boleh mengangkut anda terus daripada lapangan terbang ke Kampus Baru UPSI. Harga kupon teksi dari lapangan terbang ke UPSI adalah dalam lingkungan RM140-RM430 berdasarkan jenis teksi (bajet/premier) dan jenis kenderaan teksi. Sekiranya anda mengambil teksi pada masa 11.30pm-6.00am, caj tambahan sebanyak 50% daripada tambang asal akan dikenakan.
Segala maklumat yang dikongsi di atas adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman kawan saya di universiti. Harap semua informasi ini dapat memberi serba sedikit pengetahuan dan dimanfaat oleh semua anak perantauan UPSI. Minta maaf sekiranya berlakunya kesilapan maklumat mahupun perubahan daripada mana-mana pihak pengangkutan awam dari semasa ke semasa.
Apa-apa pun, jangan lupa untuk menjaga keselamatan diri sendiri sepanjang perjalanan ke UPSI.
Selamat mencuba dan selamat meneroka!
Pukul berapa bas terakhir tm-kl dari pudu ke tanjong malim
ReplyDelete